Strategi Menentukan Sasaran Pelanggan

Bolehkan anda memuaskan hati semua orang ?

Sudah pasti tidak!

Namun dengan berpandukan strategi ringkas dalam menentukan sasaran pelanggan, anda akan berupaya memuaskan hati golongan yang tepat, iaitu mereka yang benar-benar mahukan produk atau perkhidmatan anda.

1. Ketahui Kelebihan & Kekurangan
                         
Pertama sekali, anda perlu membuat sedikit kajian apakah kelebihan dan kekurangan produk atau perkhidmatan yang ingin atau sedang anda jual.

Apakah tujuan utama produk tersebut? Bagaimanakah cara untuk menggunakannya? Bilakah tamat tempohnya? Apakah kelebihannya berbanding produk atau perkhidmatan yang lain di pasaran?

Sebaik-baiknya, setelah membuat penilaian tersebut, anda boleh fokuskan golongan individu yang akan pasti memerlukan produk atau perkhidmatan anda itu.

Sekiranya fokus pelanggan anda kurang jelas atau terlalu umum, maka akan menjadi sukar untuk anda menonjolkan diri di kalangan produk atau perkhidmatan lain yang terdapat di pasaran.

Jika fokus pelanggan anda lebih jelas maka akan lebih mudah untuk anda melakukan promosi dan mula memasarkannya kepada golongan tertumpu tersebut.

Sebagai contoh, "produk kesihatan wanita" adalah umum, manakala "produk kesihatan untuk wanita yang baru melahirkan bayi" adalah khusus dan secara asasnya mempunyai prospek pengguna yang lebih fokus.

Walaupun jumlah wanita yang baru melahirkan bayi adalah kecil berbanding jumlah wanita secara umum, namun fokus produk anda kepada golongan kecil ini adalah lebih personal dan menyentuh hati setiap wanita yang baru melahirkan bayi.

2. Sasarkan Masalah Pelanggan

Setelah mengenalpasti kelebihan dan kekurangan produk atau perkhidmatan, anda boleh mula mensasarkan kumpulan pelanggan yang boleh mendapat manfaat daripada produk atau perkhidmatan tersebut.

Lebih tertumpu promosi atau pemasaran anda maka akan lebih besar impak keuntungan anda.

Anda boleh bermula dengan menggunakan kaedah online seperti Enjin Carian Google dan kenalpasti apakah masalah utama pelanggan. Sebagai contoh, anda mendapati wanita yang baru melahirkan bayi mempunyai masalah untuk menurunkan semula saiz badan kepada berat badan seperti sebelum bersalin, di samping tidak mahu membahayakan kualiti dan kuantiti susu badan untuk dibekalkan kepada bayi mereka.

Di samping itu, kepada kaum wanita anda boleh menyertai persatuan wanita atau ibu-ibu di kawasan kejiranan, mencari di dada-dada akhbar dan juga bertanyakan masyarakat di sekitar kawasan penempatan anda. Lebih luas jaringan kenalan anda, maka lebih mudah untuk anda mengenalpasti apakah masalah utama pelanggan dan mensasarkan kumpulan ini sebagai prospek tertumpu anda.

Antara lain, maklumat yang anda akan fokuskan adalah seperti umur pelanggan, lokasi, jantina, tahap pendidikan, pendapatan bulanan atau tahunan, tahap kesediaan untuk membuat pembelian, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain lagi.

Maklumat-maklumat ini diperlukan untuk anda lebih mengenali prospek pelanggan anda serta masalah mereka dan seterusnya mempromosikan produk atau perkhidmatan itu tadi.


3. Sesuaikan Promosi

Sesudah mengenali kelebihan dan kekurangan, dan juga menenalpasti masalah pelanggan, anda boleh sesuaikan promosi anda menurut kehendak atau situasi pelanggan.

Sebagai contoh, sekiranya sebelum ini anda mempromosi kelebihan produk adalah untuk: "mengekalkan kesihatan wanita yang baru melahirkan bayi", kini promosi anda boleh dihasilkan dengan lebih spesifik seperti: produk untuk "kesihatan wanita yang baru bersalin, mengembalikan berat badan ideal seperti sebelum ini tanpa membahayakan kualiti dan kuantiti susu badan untuk diberikan kepada bayi".

Anda sendiri boleh melihat perbezaan di antara kedua-dua ayat ini, di mana ayat kedua adalah lebih spesifik untuk menyelesaikan masalah pengguna. Sebagai seorang prospek yang mempunyai masalah tersebut, sudah tentu ayat promosi kedua lebih menarik perhatian mereka kerana ia lebih menepati keperluan mereka. Ini sudah tentu dapat membantu meningkatkan potensi mereka membuat pembelian produk atau perkhidmatan anda.

Dalam mengubahsuai produk atau perkhidmatan, anda juga boleh meninjau bagaimanakah para pesaing mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka. Dengan cara ini, anda akan lebih bersedia untuk mempromosi kepada prospek kerana anda tidak meniru gaya pesaing anda sebaliknya gaya tersendiri yang ditampilkan.


4. Selaraskan Pemasaran

Langkah terakhir adalah untuk menyelaraskan pemasaran produk atau perkhidmatan anda berdasarkan profil pelanggan.

Sebagai contoh, sekiranya anda tersilap mensasarkan produk atau perkhidmatan berkaitan wanita kepada prospek lelaki, sudah tentu pemasaran dan promosi yang anda lakukan tidak akan efektif berbanding jika ianya dipasarkan kepada golongan wanita.

Dalam satu contoh lain, sekiranya prospek anda adalah suri rumah yang tidak mempunyai masa khusus seperti golongan yang bekerja di pejabat, corak pemasaran yang perlu anda gunakan sudah tentu berbeza berbeza berbanding dengan promosi yang anda lakukan kepada golongan yang bekerja di pejabat.

Satu lagi contoh ialah sekiranya anda mensasarkan jualan pelaburan emas kepada pelajar sepenuh masa, besar kemungkinan mereka tidak mempunyai kemampuan atau kesediaan untuk melaburkan wang yang banyak bagi mendapatkan produk emas daripada anda. Namun sekiranya anda mensasarkan kepada pelajar separuh masa yang mempunyai kerja sepenuh masa, besar kemungkinan mereka lebih bersedia untuk melabur di dalam perniagaan emas kerana mereka mempunyai sumber pendapatan yang kukuh hasil daripada pekerjaan sepenuh masa mereka.

Anda perlu mengambil-kira kuasa-beli prospek anda dan juga masa terbaik untuk melakukan promosi kepada mereka.

Sekiranya anda jelas tentang golongan pelanggan anda, maka akan menjadi lebih mudah untuk anda menjana wang yang besar menerusi bisnes internet anda untuk jangkamasa yang panjang.


www.rahsiacyber.com