Kepentingan pemasaran untuk bisnes internet

Apa yang akan bermain di fikiran anda apabila anda mendengar perkataan "pemasaran" atau dalam Bahasa Inggeris "marketing"?

Adakah anda akan terfikir mengenai perbuatan menjual barangan atau perkhidmatan kepada orang lain?

Atau anda terfikir tentang surat jualan atau portal Facebook?

Sememangnya kita akan mendapat pelbagai maksud kepada perkataan "pemasaran" sekiranya kita bertanya kepada individu yang berbeza. Setiap individu mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pemasaran.

Namun demikian, satu perkara yang tidak boleh kita nafikan di dalam dunia bisnes internet adalah pemasaran merupakan nadi kepada kejayaan bisnes internet anda!

Berdasarkan kajian pakar-pakar bisnes internet di barat hasil kajian saya sendiri, kejayaan sesuatu produk atau perkhidmatan bergantung 80% kepada pemasaran yang dilakukan dan 20% kepada fungsi atau informasi yang terdapat pada produk tersebut.

Adakah anda terkejut mendengar hasil kajian ini?

Hasil kajian ini memang sudah terbukti di dalam pelbagai bisnes online dan juga offline.

Cuba lihat pada diri kita sendiri. Selalunya sebahagian besar barangan yang kita inginkan dan seterusnya beli adalah barangan yang telah kita lihat pemasarannya secara berulang-ulang kali melalui media massa.

Boleh jadi sabun mandi yang kita gunakan, berus gigi yang kita gunakan, komputer riba yang kita gunakan, peti televisyen yang kita gunakan dan pelbagai perkara lagi. Hampir kesemuanya telah dibeli berdasarkan pemasaran yang telah kita lalui sama ada dengan kita sedari atau pun tidak sedari.

Hakikat ini juga sama di dalam bisnes internet. Selalunya usahawan internet yang berjaya menjana keuntungan yang tinggi dengan produk atau perkhidmatannya adalah mereka yang telah melakukan pemasaran dengan berkesan. Pemasaran yang saya maksudkan ini adalah pemasaran yang mampu mencapai target prospek paling ramai yang boleh kita perolehi.

Dalam pada itu, sebagai satu langkah bijak untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di dalam bisnes internet anda untuk tahun 2014 adalah dengan menumpukan sebahagian besar usaha anda kepada peningkatan dan penambahan strategi pemasaran.

Di sini saya ingin kongsikan dengan anda beberapa teknik pemasaran yang sudah terbukti mampu menarik seramai mungkin prospek untuk melihat produk atau perkhidmatan anda.

Mari kita mulakan...

1. Facebook

Jika anda masih belum lagi menggunakan portal Facebook untuk pemasaran bisnes internet anda, tahun 2014 merupakan tahun untuk anda bermula!

Perkara ini tidak boleh dinafikan lagi. Sebilangan besar rakyat Malaysia memiliki akaun Facebook dan meluangkan banyak masa untuk melayarinya pada setiap hari.

Oleh itu, anda perlu pergi ke tempat di mana terdapat ramai prospek iaitu di portal Facebook.

Anda mempunyai pilihan untuk menggunakan teknik direct selling di Facebook iaitu dengan menggunakan Facebook Ads atau anda boleh menggunakan teknik soft selling di Facebook iaitu dengan menggunakan Facebook Fanpage.

2. Instagram

Semua orang suka melihat gambar. Oleh kerana itu, aplikasi Instagram mampu menarik minat ramai orang untuk menggunakannya.

Memandangkan komuniti penguna Instagram merupakan satu komuniti yang besar, apa kata anda menyertai komuniti pengguna ini.

Bezanya di sini, anda buka saja menggunakan aplikasi ini untuk berkongsi gambar-gambar menarik di dalam kehidupan anda tetapi juga menggunakannya untuk memasarkan produk atau perkhidmatan anda secara soft selling.

Anda boleh berkongsi gambar produk-produk anda yang disertakan dengan maklumat mengenai produk tersebut dan juga laman web tempat untuk mendapatkannya buat mereka yang berminat.

Instagram bukan sahaja boleh memaparkan gambar tetapi boleh juga memaparkan video. Dengan ini, strategi pemasaran produk dan perkhidmatan melalui video juga boleh anda aplikasikan.

3. Rakan JV

Joint Venture atau lebih dikenali sebagai JV merupakan strategi pemasaran bantu membantu di antara satu usahawan internet dengan usahawan internet yang lain.

Anda boleh mencari rakan-rakan JV daripada kategori barang jualan yang sama dengan anda. Sebagai contoh, jika anda merupakan penjual bag tangan wanita, anda boleh mencari usahawan internet lain yang menjual kain tudung untuk dijadikan rakan JV.

Caranya di sini adalah anda membantu usahawan internet tersebut untuk mempromosikan barangannya kepada subscriber atau peminat anda dan individu tersebut pula akan membantu mempromosikan barangan anda kepada subscriber atau peminatnya pula.

Dengan cara ini, anda boleh mendapat prospek dan pelanggan baru dengan pantas dan rakan JV anda itu pun boleh mendapat peluang yang sama.

4. Autoresponder & Pemasaran Emel

Saya menyenaraikan autoresponder dan pemasaran emel di dalam satu tajuk kerana ianya saling berkait.

Tanpa autoresponder, tidak mungkin anda boleh menghasilkan satu strategi pemasaran emel yang berkesan.

Tanpa satu strategi pemasaran yang berkesan pula, tidak ada gunanya anda menggunakan perisian autoresponder.

Autoresponder merupakan satu perisian yang membantu anda untuk menyimpan maklumat pengunjung seperti nama dan alamat emel apabila mereka mengunjungi laman web anda. Maklumat tersebut akan disimpan di dalam pengkalan data atau database perisian autoresponder tersebut.

Kekuatan autoresponder terletak pada kemudahan anda untuk menghantar emel kepada setiap individu yang terdapat di dalam database autoresponder anda dengan hanya perlu mengarang satu emel sahaja.

Lebih ramai individu yang terdapat di dalam database anda maka akan lebih besar peluang untuk anda menjana wang besar setiap kali anda menghantar emel yang mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Jika anda belum lagi menggunakan autoresponder dan pemasaran emel di dalam bisnes internet anda, jangan berlengah lagi. Tahun 2014 merupakan tahun untuk anda bermula.

Itulah 4 strategi pemasaran berkesan yang boleh anda gunakan untuk membantu anda di dalam menempuh tahun 2014.

Salam hormat.


RahsiaCyber
www.rahsiacyber.com