Mawi dan Ekin sudah selamat menjadi suami isteri. Perkahwinan kedua pasangan ini sudah tentu sesuatu yang menggembirakan kerana ia akan menjadi satu kenangan yang amat manis dalam hidup.
Setiap pasangan sudah tentu mahukan satu suasana perkahwinan yang meriah. Bukan satu pembaziran tetapi kerana ia cuma akan berlaku sekali dalam seumur hidup kecuali anda berpoligami. Paling penting perkahwinan itu hendaklah sempurna tanpa kekurangan. Kekurangan sedikit mungkin disebabkan oleh masalah pengurusan itu masih boleh diterima.
Kekurangan disebabkan oleh masalah kewangan agak janggal kerana semua orang akan memperkatakannya. Orang tentu akan kata bagaimana kita begitu berani melangsungkan perkahwinan tanpa wang yang cukup ? Lepas kahwin apa mereka akan makan ?
Ramai pasangan sekarang tidak mempedulikan soal kewangan untuk mencapai hasrat mereka untuk mahu bergelar suami isteri. Asalkan hati sudah sedia, pasangan menganggap mereka sudah layak berkahwin. Tanggapan sedemikian menyebabkan banyak masalah timbul di kemudian hari.
Ada pasangan yang baru berkahwin terpaksa tinggal dengan mertua sehingga beberapa waktu kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri. Lebih teruk lagi, selepas ada anak, mertua mereka turut membantu menyara cucu-cucunya. Masalah kewangan yang serius juga boleh mengakibatkan penderaan kepada anak-anak mahupun si isteri. Sampai ke satu tahap yang tidak dapat dielakkan, perceraian juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah kewangan. Ini tidak dapat dinafikan kerana banyak kes perceraian di Malaysia berpunca daripada masalah kewangan.
Perkahwinan adalah sangat mulia kerana isteri dan suami adalah anugerah Tuhan. Maka dengan itu perkahwinan hendaklah dirancang sebaik-baiknya supaya tidak ada masalah yang akan timbul dikemudian hari. Terdapat banyak buku panduan di pasaran yang boleh membantu pasangan bagaimana merancang masa depan sebelum berkahwin. Dapatkanlah buku-buku itu kerana ia boleh membantu pasangan ke arah kebahagiaan rumahtangga.
