Strategi Promosi Offline Portal Lelong & eBay

Sekiranya anda menjalankan perniagaan di portal Lelong atau eBay, terdapat pelbagai cara promosi yang boleh anda lakukan secara online untuk meningkatkan bilangan pengunjung yang datang melihat barang jualan anda di dalam portal tersebut.

Namun demikian, tidak ramai penjual di portal Lelong dan eBay yang tahu menggunakan strategi offline untuk meningkatkan bilangan pengunjung dan seterusnya meningkatkan jumlah keuntungan yang boleh anda perolehi sebagai seorang penjual.

Di sini saya senaraikan beberapa strategi promosi offline mudah yang boleh anda gunakan di dalam perniagaan anda di Lelong dan eBay:

1. Surat Terima Kasih

Pembeli anda merupakan nadi kepada kejayaan perniagaan anda di portal Lelong dan eBay untuk jangkamasa panjang. Pembeli yang berpuashati dengan pembelian pertama mereka dengan anda akan lebih besar kemungkinan untuk membeli lagi daripada anda pada masa hadapan.

Oleh itu, salah satu strategi mudah untuk anda memancing rasa puashati para pembeli anda adalah dengan menyertakan surat terima kasih bersama barangan yang anda hantar kepada mereka.

Apabila barang yang dipesan oleh pembeli tiba, mereka akan berasa terkejut dan terharu kerana menerima surat daripada anda di dalam bungkusan tersebut. Ini akan memberikan gambaran positif yang anda menghargai pelanggan-pelanggan anda dan mahu memberikan yang terbaik kepada mereka.

Di dalam surat tersebut, anda boleh memberikan ucapan terima kasih kepada pembeli, memberikan maklumat lanjut mengenai barang yang telah mereka beli dan juga memberikan alamat email atau nombor telefon yang boleh mereka hubungi sekiranya terdapat sebarang persoalan atau masalah.

Para pelanggan anda akan lebih menghargai anda sebagai seorang penjual sekiranya anda mampu menunjukkan rasa prihatin anda dengan memberikan surat terima kasih tersebut. Ini bakal menjamin yang anda akan mendapat seorang pembeli yang setia untuk satu jangkamasa yang panjang.

2. Pamplet Barangan

Satu lagi bahan bercetak offline yang boleh anda sertakan bersama barang yang anda hantar kepada pembeli adalah brochure atau pamplet barangan lain yang anda jual.

Strategi ini merupakan satu cara yang mudah dan murah untuk anda lakukan promosi lanjutan kepada para pembeli anda.

Brochure atau pamplet tersebut boleh menyenaraikan barangan atau gambar barangan lain yang anda jual. Dengan memberikan maklumat ini, si pembeli dapat mengetahui apakah barangan lain yang anda jual.

Jika mereka berpuashati dengan pembelian mereka itu, sudah tentu mereka akan membeli lagi daripada anda lebih-lebih lagi selepas melihat senarai barangan lain yang turut dijual oleh anda.

Brochure atau pamplet tersebut boleh anda hasilkan dengan cara printing atau photocopy dan ianya boleh anda hasilkan dalam jumlah yang banyak. Setiap kali anda membungkus barangan untuk dihantar, anda boleh selitkan brochure atau pamplet tersebut di dalam bungkusan.

Brochure dan pamplet anda perlu mengandungi maklumat laman web atau UserID anda di portal Lelong atau eBay. Ini adalah untuk memudahkan pembeli tersebut untuk mengunjungi kedai atau laman web jualan anda untuk membeli lagi daripada anda.

3. Kad Diskaun

Rata-rata semua pembeli menyukai sekiranya mereka diberikan ganjaran diskaun untuk barang pembelian mereka. Oleh itu, satu lagi strategi offline yang boleh anda gunakan adalah dengan memberikan kad diskaun bersama-sama barangan yang anda hantar kepada pembeli.

Apakah tujuan kad diskaun tersebut?

Tujuannya adalah si pembeli boleh mendapat diskaun khas daripada anda sekiranya mereka membuat pembelian barangan lain daripada anda.

Dengan memberikan ganjaran diskaun, maka ia akan lebih memberikan motivasi kepada si pembeli untuk membeli lagi daripada anda pada masa hadapan.

Untuk menggalakkan pembelian seterusnya berlaku dalam masa yang terdekat, anda boleh memberikan tarikh luput kepada kad diskaun tersebut. Sebagai contoh, anda boleh memberikan tarikh luput kad tersebut dalam masa 1 bulan selepas pembelian pertama mereka. Dengan cara ini, si pembeli akan lebih terdorong untuk membuat pembelian lanjutan sebelum tamatnya tempoh diskaun tersebut.

4. Setem Terkumpul

Jika anda biasa mengunjungi kedai farmasi utama seperti Watson dan Guardian, anda akan dapat melihat bagaimana strategi ini digunakan oleh mereka untuk meningkatkan promosi dan seterusnya jumlah keuntungan yang mereka perolehi.

Strategi ini amat mudah!

Anda sebagai penjual akan memberikan satu setem khas kepada setiap pembeli anda. Apabila si pembeli sudah dapat mengumpul setem sehingga satu jumlah tertentu yang anda tetapkan, si pembeli boleh menuntut hadiah khas daripada anda sebagai penganjur.

Oleh itu, anda sebagai penjual dan penganjur akan menetapkan hadiah yang boleh dimenangi oleh para pembeli dan berapa jumlah setem yang perlu mereka kumpul untuk memenangi hadiah tersebut.

Hadiah yang anda sediakan perlulah boleh menarik minat para pelanggan anda untuk mengumpul setem tersebut dan berusaha untuk memenangi hadiah dengan melakukan pembelian lanjutan.

Strategi ini akan dapat meningkatkan keuntungan perniagaan anda dalam masa yang singkat kerana dengan pemberian hadiah yang menarik, sudah pasti akan ramai pelanggan yang menyertai pertandingan tersebut dan berusaha melakukan pembelian lanjutan untuk mendapatkan setem.

5. Kad Bisnes

Strategi promosi offline terakhir yang ingin saya kongsikan di sini adalah strategi pemberian kad bisnes.

Sebagai seorang penjual di portal Lelong dan eBay, anda juga WAJIB memiliki kad bisnes sendiri!

Kad bisnes bukan saja untuk pekerja-pekerja kerajaan atau swasta, malah ianya wajib dimiliki oleh semua orang yang bergelar usahawan kecil atau besar.

Pasti di setiap masa anda akan bertemu dan berkenalan dengan ramai orang baru. Sebagai contoh, jika anda rajin menghantar bungkusan ke pejabat pos, anda mungkin akan berkenal-kenalan dengan individu yang bertugas di kaunter pejabat pos tersebut. Semasa sesi perkenalan tersebut, maka anda boleh menghulur kad bisnes anda kepadanya. Dengan cara ini, anda boleh meningkatkan bilangan pengunjung ke laman web anda atau ke barang jualan anda secara offline.

Oleh itu, kad bisnes anda perlulah mempunyai maklumat seperti alamat email atau alamat laman web anda sebagai seorang penjual di portal Lelong dan eBay.

Kad bisnes ini perlulah anda bawa ke mana-mana dan anda perlulah "ringan tangan" untuk menghulurkannya kepada orang-orang yang anda jumpa. Jangan terlalu sayangkan kad bisnes anda dan tidak mahu ia habis diberikan kepada orang lain. Tujuan kad bisnes itu adalah UNTUK diberikan kepada orang lain.

Dengan adanya kad bisnes anda di tangan orang-orang yang anda jumpai, maka mereka akan lebih terdorong untuk mengunjungi laman web jualan anda di portal Lelong dan eBay dan akan tergerak untuk membeli daripada anda kerana mereka sudah pernah berjumpa dengan anda secara peribadi. Ini akan dapat mengurangkan kerisauan mereka di dalam membeli barangan secara online.

Saya amat yakin setiap strategi yang saya kongsikan di dalam artikel ini akan mampu membantu perniagaan anda di portal Lelong dan eBay untuk mencapai keuntungan yang lebih baik daripada sebelum ini.

Kini cuma tinggal usaha anda saja untuk mengaplikasikannya di dalam perniagaan anda.

Sehingga bertemu lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan dari saya. :)

Sumber :

Eruwan Gerry Norsen
Pakar Lelongan Online
www.RahsiaRajaLelong.com
www.eruwangerryaffiliates.com/