Tip Pengurusan Bisnes Internet


Di dalam ruangan artikel pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda 3 tip pengurusan bisnes internet yang saya yakin akan dapat membantu anda untuk menguruskan dan mengembangkan bisnes internet anda sendiri dengan lebih baik selepas ini.

Mari kita mulakan...


1. Simpan Rekod

Di antara perkara paling utama yang perlu dilakukan di dalam bisnes internet anda adalah dari segi penyimpanan rekod segala transaksi atau urusniaga di dalam bisnes anda itu.

Perkara ini penting walaupun hakikatnya pada masa kini anda cuma menjalankan bisnes internet anda secara seorang diri!

Tidak kira sama ada anda cuma menjalankan bisnes secara seorang diri atau dengan 10 pekerja atau dengan 100 pekerja, anda WAJIB menyimpan rekod dengan baik.

Di antara rekod-rekod penting yang perlu anda simpan dengan baik adalah rekod pembelian barangan atau perkhidmatan untuk bisnes internet anda, rekod pembelian pelanggan dan juga rekod utiliti.

Contoh rekod pembelian barangan atau perkhidmatan untuk bisnes internet anda adalah seperti domain, hosting, servis grafik dan juga bahan-bahan pembelajaran untuk anda sebagai seorang pemilik bisnes.

Contoh rekod pembelian pelanggan adalah segala bukti pembayaran ke akaun bank, akaun Paypal atau sebarang cara penerimaan pembayaran lain yang anda gunakan untuk bisnes internet anda. Anda juga perlu menyimpan rekod penghantaran barangan yang telah dibeli kepada pelanggan sama ada untuk produk digital atau produk fizikal. Rekod ini penting untuk membuktikan bahawa barangan tersebut telah dihantar kepada si pembeli.

Contoh rekod utiliti adalah sebarang rekod pembayaran untuk ruangan atau premis bisnes internet anda. Sebagai contoh, bil air , bil api, bil telefon serta sewa premis jika anda ada menyewa bilik atau kedai untuk menjalankan bisnes internet anda.

Kesemua rekod ini penting untuk memudahkan anda menilai dengan tepat keuntungan atau kerugian bisnes internet anda. Selain itu, rekod yang lengkap ini juga akan dapat membantu anda menyiapkan cukai pendapatan untuk bisnes internet anda di kemudian hari.


2. Lakukan Otomasi

Sebagai seorang usahawan internet, anda WAJIB melakukan otomasi untuk sebanyak mungkin proses di dalam bisnes internet anda.

Salah satu kelebihan yang paling ketara untuk bisnes internet berbanding bisnes konvensional adalah dari segi kemudahan otomasi. Di dalam dunia internet, terdapat pelbagai perisian dan perkhidmatan yang boleh membantu meringankan kerja-kerja anda sebagai seorang usahawan internet.

Proses otomasi ini penting untuk anda gunakan kerana ia akan mampu menjimatkan masa anda dan juga akan membolehkan anda melakukan sesuatu perkara yang sukar dengan lebih mudah.

Di antara proses otomasi yang boleh anda aplikasikan untuk bisnes internet anda adalah seperti berikut:

a) Menggunakan perkhidmatan Autoresponder untuk mendaftarkan maklumat pengunjung laman web anda.

b) Menggunakan perkhidmatan Autoresponder untuk menghantar emel secara sekali gus kepada semua subscriber atau pelanggan anda tanpa dikira sebagai SPAM.

c) Menggunakan promosi iklan internet seperti Facebook Ads, Google Ads dan Banner untuk mempromosi kepada semua pengunjung internet tanpa henti.

d) Menggunakan perisian khas atau portal untuk menerima pembayaran, membuat pengesahan dan membuat penghantaran kepada pelanggan-pelanggan anda.

... dan banyak lagi.


Pendek kata, dengan perkembangan teknologi, sudah pasti akan ada lebih banyak teknik otomasi baru yang boleh anda lakukan pada masa hadapan. Anda perlu menggunakannya untuk memudahkan tugasan seharian anda.


3. Outsource Tugasan


Sudah pasti di dalam menilai setiap tugasan atau kerja yang terdapat di dalam bisnes internet anda, ada tugasan atau kerja yang tidak boleh anda otomasi dengan menggunakan sebarang perisian yang terdapat di dalam dunia internet.

Di antara tugasan atau kerja yang mungkin sukar untuk diotomasikan melalui internet adalah seperti pembungkusan barangan, penghantaran barangan, penghasilan laman web, menghasilkan bahan promosi, menulis artikel dan menghasilkan video.

Oleh itu, cara terbaik untuk menguruskan bisnes internet anda untuk tugasan-tugasan yang masih memerlukan keupayaan seseorang untuk melakukannya adalah dengan menyerahkan tugasan tersebut kepada orang lain. Selalunya apa yang boleh dilakukan oleh individu lain itu adalah jauh lebih baik daripada apa yang boleh anda lakukan secara sendirian.

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang penjual di internet yang sentiasa ada barangan fizikal yang perlu anda bungkus dan hantar, cara terbaik adalah dengan mendapatkan bantuan tenaga kerja orang lain untuk membungkus dan menghantar untuk anda. Sudah pasti jika anda melakukan tugasan ini secara bersendirian, ia akan memakan masa dan tenaga anda dengan banyak.

Oleh itu, anda boleh mengupah atau menggaji orang lain untuk membantu anda. Anda tidak perlu mengupah orang lain secara sepenuh masa tetapi sudah memadai anda mendapatkan perkhidmatan mereka apabila anda memerlukannya sahaja. Jika anda ingin menjimat kos menggaji orang lain, anda boleh mendapatkan bantuan sahabat-sahabat atau ahli keluarga untuk membantu anda. Sudah memadai jika anda menawarkan untuk belanja mereka makan jika mereka membantu anda. Sudah pasti mereka tidak akan menolak. :)

Itulah sedikit perkongsian 3 tip pengurusan bisnes internet yang boleh saya kongsikan dengan anda pada kali ini. Bisnes internet telah memberikan peluang kepada kita untuk menjadi seseorang pemilik bisnes dengan mudah, pantas dan mempunyai banyak masa terluang. Oleh itu, anda tidak boleh melepaskan peluang daripada mengaplikasikan segala tip yang telah saya kongsikan dengan anda sebelum ini.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain.

Salam hormat dan salam kejayaan!



Dibawa Oleh :

www.rahsiacyber.com